Peminat Seni & Sejarah

22 September 2011

Mat Sabu Didakwa Tohmah Polis

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu hadir di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang, semalam bagi menghadapi tuduhan membuat tohmahan terhadap anggota polis dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong. – utusan/ismail kamadin.

BUTTERWORTH 21 Sept. – Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan membuat tohmahan memburukkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka yang terlibat dalam tragedi serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu dalam ceramahnya di Pusat Asuhan Tadika Islam (Pasti) Al Fahmi, Markas Tarbiyah Pas Padang Menora, Tasek Gelugor antara pukul 10 malam hingga 12 tengah malam, 21 Ogos lalu.

Mohamad atau Mat Sabu dipercayai ahli politik pertama yang didakwa di mahkamah atas tuduhan membuat tohmahan terhadap anggota polis dan kaum keluarga mereka yang terlibat dalam peristiwa bersejarah yang berlaku lebih 60 tahun lalu di Johor.

Dalam pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ikmal Hishan Mohd. Tajudin, Mohamad didakwa memfitnah anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 dengan membuat tohmahan yang boleh merosakkan nama baik mereka.

Beliau turut dikenakan tuduhan pilihan iaitu memfitnah tiga anggota polis, Konstabel Marin Abu Bakar Daud, Konstabel Jaafar Hassan dan Konstabel Yusoff Rono serta ahli keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam peristiwa tersebut, dengan membuat tohmahan dalam ucapan kepada orang ramai pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Mohamad yang berbaju T hijau, berseluar hitam dan berjaket biru kelihatan tenang sewaktu pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dan mengangguk tanda faham atas pertuduhan tersebut.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dibuat selepas aduan daripada tiga orang ahli keluarga anggota polis yang terkorban dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong iaitu Jamilah Abu Bakar, Azlas Jaafar dan Nazir Yusoff.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan, Mohamad Hanafiah Zakaria bersama Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff dan Suhaimi Ibrahim manakala Mohamad diwakili peguam Mohamed Hanipa Maidin dan Aminuddin Zulkifli.

Mohamad Hanafiah memohon agar Mohamad diikat jamin RM50,000 sementara menunggu tarikh sebutan namun jumlah itu dibantah oleh Mohamed Hanipa yang menyatakan anak guamnya telah memberikan kerjasama kepada pihak polis.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Oktober ini untuk sebutan kes sementara perbicaraan dijadualkan dari 5 hingga 9 Disember depan.

Mohamad dibebaskan selepas membayar wang ikat jamin pada pukul 12 tengah hari.

Ahli politik parti pembangkang itu ditahan petang semalam setelah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang selepas beliau menyerah diri susulan waran tangkap yang dikeluarkan terhadapnya.

Beliau bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis pada malam tadi setelah percakapannya dirakam.
Memetik laporan akhbar hari ini, Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, pihaknya menerima 1,013 laporan polis berhubung kenyataan yang dibuat oleh Mohamad termasuk oleh anggota keluarga mereka yang terkorban dalam tragedi Bukit Kepong itu.

Mohamad dalam ceramahnya itu antara lain menyifatkan pengganas komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong di Muar, Johor pada 1950 ialah wira sebenar, bukannya 25 anggota polis serta keluarga mereka yang terkorban dalam kejadian tersebut.

Mat Sabu menerima kecaman hebat apabila klip rakaman video ceramahnya itu disebarkan menerusi Internet dan mendapat liputan meluas pihak media.



Oleh AZELI ALI azeli.ali@utusan.com.my
Sumber dari :
http://www.utusan.com.my

10 September 2011

Kaji semula caj 6.0 peratus cukai perkhidmatan



KUALA LUMPUR 9 Sept.2011
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta syarikat telekomunikasi supaya mengkaji semula keputusan mengenakan cukai perkhidmatan sebanyak 6.0 peratus kepada pengguna ke atas produk tambah nilai dan pek permulaan kerana keputusan itu kini dilihat membebankan rakyat.

Najib berkata, keputusan itu yang diambil sendiri oleh syarikat telekomunikasi merupakan satu keputusan yang tidak popular selepas beliau mengambil kira pandangan dan maklum balas daripada pengguna.

Menurutnya, fokus utama ketika ini sepatutnya untuk mengurangkan beban rakyat dan bukannya mengambil keputusan untuk menambah beban itu.

"Saya dah dapat banyak reaksi dan maklumat timbal balas daripada orang ramai bahawa langkah yang dibuat oleh syarikat telekomunikasi mengenakan cukai perkhidmatan kepada pengguna adalah suatu yang tidak popular dan sukar diterima oleh rakyat.

"Saya berharap syarikat telekomunikasi dapat kaji semula langkah ini kerana hari ini kita hendak kurangkan beban kepada rakyat.

''Kini rakyat terpaksa menanggung kos perbelanjaan serba-serbi dan ada sesetengah bahan makanan sudah bertambah harga, kita hendak kurangkan bebanan pada rakyat," katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan logo baharu Maybank di Menara Maybank di sini hari ini.

Najib berkata, kerajaan tidak pernah meluluskan apa-apa berkenaan caj cukai 6 peratus berkenaan sebaliknya ia dibuat syarikat telekomunikasi sendiri.

"Kita tidak pernah luluskan, keputusan dibuat pihak syarikat telekomunikasi sendiri," katanya.
Perdana Menteri, yang juga Menteri Kewangan, mengulas satu kenyataan bersama syarikat telekomunikasi semalam yang mengumumkan caj berkenaan akan dikenakan kepada produk-produk prabayar bermula Khamis depan.

Menurut kenyataan itu, cukai perkhidmatan bukan sesuatu yang baru, namun sejak perkhidmatan prabayar diperkenalkan pada 1998 cukai berkenaan diserap oleh syarikat telekomunikasi.

Langkah itu diambil bagi memastikan perkhidmatan prabayar mudah alih kekal kompetitif berikutan kadar panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) prabayar adalah tinggi berbanding pasca bayar.

Dengan cukai perkhidmatan 6.0 peratus terhadap perkhidmatan prabayar, pelanggan yang membeli tambah nilai RM10 perlu membayar RM10.60, yang mana 60 sen adalah cukai perkhidmatan.




Sumber dari :
http://www.utusan.com.my

09 September 2011

Ke arah Mencapai Kemerdekaan Malaysia




Ketika arus kesedaran mengenai kemerdekaan kuat bergelora, Inggeris bimbang sekiranya orang Melayu mengalihkan sokongan mereka kepada parti berhaluan kiri seperti Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Kesatuan Melayu Muda (KMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Parti Komunis Malaya (PKM). Oleh itu, apabila Parti Perikatan, UMNO dan MCA begitu kuat mendesak mengadakan pilihanraya, Inggeris akhirnya tunduk menunaikan tuntutan dan tekanan mereka.

Pilihanraya Persekutuan pertama pada 27 Julai 1955 telah diadakan. Beberapa parti seperti UMNO, MCA, MIC, Parti Negara, PAS, Parti Buruh telah ikut serta dalam merebut 52 buah kerusi yang dipertandingkan. Bagi menunjukkan komitmen ke arah kemerdekaan sejagat, UMNO telah mengadakan kerjasama dengan MCA (yang ditubuhkan pada 27 Februari 1949) dan MIC (ditubuhkan pada  Ogos 1946) membentuk Parti Perikatan untuk menghadapi pilihanraya tersebut.
Hasilnya mereka berjaya menguasai 51 kerusi daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Ia menjadi asas kepada persefahaman untuk memenuhi tuntutan Inggeris bahawa kemerdekaan boleh dicapai dengan adanya kerjasama dan saling bertolak ansur antara kaum di Tanah Melayu. Manifestasi Perikatan ialah menjanjikan kemerdekaan dalam masa empat tahun.

Pada 1Ogos 1955, Tunku Abdul Rahman membentuk Kabinet pertama yang dianggotai oleh 6 wakil Melayu, 3 wakil Cina dan 2 wakil India. Tunku  Abdul Rahman selaku Ketua Menteri dan Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri. Antara barisan ahli yang lain ialah Datuk Abdul Razak Hussain, Dr. Ismail Datuk Abdul Rahman, En. H.S. Lee, En. Abd. Aziz Ishak, En. Baba Leong Yew Koh, En. Sardon Haji Jubir, Tun V.T. Sambathan, En. Sulaiman Datuk Abd. Rahman dan En. Bba Ong Yok Lin. Mereka   mengangkat sumpah jawatan pada 9 Ogos 1955.

Selain memenuhi syarat persefahaman antara kaum, Tunku Abdul Rahman dicabar supaya menyelesaikan isu pemberontakan komunis untuk mendapatkan kemerdekaan. Inggeris berjanji selagi ancaman komunis tidak ditangani, kemerdekaan mungkin lewat diberikan. Bagi menyahut cabaran tersebut, Tunku memilih cara diplomasi dengan mengadakan Rundingan Baling pada 28-29 Disember 1956 bersama Chin Peng, Setiausaha Agung Parti Komunis Melaya (PKM). Tindakan tersebut telah mencemaskan Inggeris yang selama ini berhadapan dengan PKM secara kekerasan.

Kebimbangan Inggeris memberikan kesan mempercepatkan lagi proses pemberian kemerdekaan. Ia memperlihatkan kebijaksanaan siasah Tunku Abdul Rahman. Sementara di pihak PKM, mereka menolak dengan angkuh permintaan Tunku untuk membubarkan partinya malah terus memilih untuk meneruskan penentangan bersenjata yang ternyata telah banyak membawa kesengsaraan khususnya kepada penduduk luar Bandar dan menggugat keselamatan dan ekonomi negara.
Pada 18 Januari - 6 Februari 1956, Tunku Abdul Rahman mengetuai rombongan merundingkan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

Rombongan tersebut turut disertai oleh beberapa pemimpin Parti Perikatan; Dato' Abdul Razak Hussein, Dr. Ismail Abdul Rahman, Kolonel H.S. Lee, Tuan T.H. Tan dan Encik Bahaman Shamsudin dan wakil Raja-Raja Melayu; Dato' Panglima Bukit Gantang, Dato' Nik Ahmad Kamil, Encik Abdul Aziz Majid dan Dato Mohd. Seth. Pada 8 Februari 1956, Perjanjian Merdeka telah dimetrai dengan menetapkan tarikh 31 Ogos 1957 sebagai tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Sekembali dari London, Tunku Abdul Rahman telah membuat Pengisytiharan Kemerdekaan di Padang Pahlawan, Bandar Hilir, Melaka pada 20 Februari 1956 dan disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan oleh seluruh rakyat.

Selaras dengan persediaan menyambut kelahiran sebuah negara yang baru merdeka, sebuah suruhanjaya bebas yang dikenali sebagai Suruhanjaya Perlembagaan Reid telah dibentuk pada 21 Mac 1956 untuk mengkaji dan menggubal Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Pada 12.00 tengah malam 30 Ogos 1957, bendera Union Jack diturunkan di depan Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur lantas bendera Persekutuan Tanah Melayu mengambl alih dan terus berkibar megah.

Pada keesokan harinya, gema merdeka sebanyak tujuh kali memenuhi segenap pelosok Stadium Merdeka, Kuala Lumpur apabila upacara pengisytiharan kemerdekaan dibuat oleh Tunku Abdul Rahman. Hasil perjuangan seluruh orang Melayu dan gabungan beberapa kaum lain, akhirnya pada 31 Ogos 1957, Tanah Melayu berjaya merungkai rantai penjajahan yang sekian lama membelenggu peribuminya.



Sumber di petik dari :
http://www.malaysiamerdeka.gov.my