Peminat Seni & Sejarah

19 October 2011

Menu Rakyat sedap, berkualiti

NAJIB Tun Razak bersama para pelanggan yang makan tengah hari menunjukkan isyarat 1Malaysia ketika berkunjung ke premis Program Menu Rakyat 1Malaysia di Restoran Ukhwah, Lorong Medan Tuanku, Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan Ismail Sabri Yaakob (dua, kiri) dan Yang Dipertua Ukhwah, Datuk Rahim Baba (dua, kanan). - BERNAMA


KUALA LUMPUR 18 Okt. — Datuk Seri Najib Tun Razak memuji makanan yang dijual di restoran yang menyertai Program Menu Rakyat 1Malaysia sambil menyifatkannya sebagai sedap dan berkualiti.

Perdana Menteri menyatakan sedemikian selepas menikmati nasi berlaukkan ayam masak merah, ayam masak kicap, daging goreng, sayur taugeh dan papadom di Restoran Ukhwah di Lorong Medan Tuanku di sini hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengiringi Perdana Menteri, berkata, kunjungan Najib ke premis itu adalah untuk menikmati dan menilai sendiri kualiti makanan yang dijual kepada rakyat pada harga RM4 untuk makanan tengah hari dan RM2 untuk sarapan.

"Perdana Menteri datang semata-mata untuk makan. Beliau nak rasa sendiri makanan yang dimakan oleh rakyat," katanya kepada pemberita.

Ismail Sabri berkata kunjungan Najib juga membuktikan bahawa persepsi sesetengah pihak kononnya menu murah di premis atau restoran yang menyertai program anjuran kementerian itu tidak berkuliti, adalah tidak benar.

Katanya, kualiti makanan yang dijual di premis atau restoran yang menyertai Program Menu Rakyat 1Malaysia adalah sama seperti makanan yang dijual di tempat lain dan kementerian sentiasa turun padang memantau keadaan agar aspek kualiti tidak diambil mudah.

"Saya rasa Perdana Menteri sangat gembira di mana hari ini, beliau dapat merasa sendiri apa yang rakyat rasa dan makan setiap hari dan ini menunjukkan beliau prihatin dengan apa yang dimakan dan dirasa rakyat," kata Ismail Sabri.

Program Menu Rakyat 1Malaysia dilancarkan pada 7 Julai lepas bertujuan membantu meringankan beban perbelanjaan harian rakyat.

Ismail Sabri berkata, program itu menerima sambutan amat menggalakkan dengan sasaran 1,000 kedai menjelang hujung tahun ini dicapai lebih awal kerana setakat ini 1,004 restoran sudah menyertai program itu.

Daripada jumlah itu, Perak mencatatkan jumlah terbanyak iaitu 152 diikuti Selangor (137), Terengganu (123), Kedah (104), Pahang (103), Sarawak (64), Pulau Pinang (61), Johor dan Sabah (52), Kuala Lumpur (46), Kelantan (41), Negeri Sembilan (34), Melaka (18), Perlis (12), Labuan (tiga) dan Putrajaya (dua).

Menurut Ismail Sabri, bagi kemudahan orang ramai, senarai kesemua restoran yang mengambil bahagian dalam program itu akan diiklankan di akhbar esok.

Beliau berkata, kementerian berharap lebih banyak restoran menyertai program itu yang mensyaratkan semua menu harus mempunyai kombinasi diet seimbang seperti nasi, lauk, sayur dan minuman. — BERNAMA


Sumber dari :
http://www.utusan.com.my

13 October 2011

Kedutaan Malaysia diserang

SEBAHAGIAN daripada peserta demonstrasi berhimpun di luar pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Indonesia semalam. - Utusan/Sharuddin Mustafa

JAKARTA 12 Okt 2011 - Jika tahun lalu, pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia dilempar najis, hari ini ia sekali lagi menjadi mangsa kebiadaban penunjuk perasaan.

Aksi tunjuk perasaan yang dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan, Forum Betawi Rempug (FBR) mencetuskan ketegangan sehingga menyebabkan lampu pecah serta kerosakan di pagar bangunan tersebut di Jalan Rasuna Said di sini.

Perhimpunan yang berlangsung selama sejam setengah bermula pukul 1 tengah hari itu menyaksikan betapa liarnya sikap sebahagian daripada 650 penunjuk perasaan.

Tindakan tidak bertamadun penunjuk perasaan itu juga turut mencederakan sembilan anggota polis Indonesia selepas terkena balingan objek seperti batu, kayu dan buluh yang berusaha mengawal keadaan genting itu.

Penunjuk perasaan itu berhimpun di depan Kedutaan Besar Malaysia untuk menyatakan bantahan terhadap Malaysia yang kononnya didakwa mengambil tanah seluas lebih 1,000 hektar secara haram di Kalimantan Barat.

Para penunjuk perasaan yang dipimpin oleh Pengarah FBR, Edwan Hamidy itu turut membawa sepanduk bertulis 'FBR siap mengajari Malaysia cara-cara menjadi negara yang baik'.

Tidak ketinggalan, pelbagai kata-kata kurang manis diucapkan oleh beberapa pemimpin tertinggi FBR yang secara jelas mengecam dan menghina negara Malaysia.

Aksi tunjuk perasaan FBR itu sebenarnya tidak memberikan sebarang manfaat kepada organisasi berkenaan kerana hasrat untuk menyampaikan nota bantahan berkenaan tidak dilayan oleh pejabat Kedutaan Besar Malaysia.

Pejabat Kedutaan Besar Malaysia mempunyai sebab untuk tidak menerima sebarang nota bantahan itu memandangkan dakwaan FBR kononnya Malaysia menceroboh kedaulatan wilayah mereka tidak pernah berlaku.

Kemuncak kemarahan penunjuk rasa itu terjadi apabila penunjuk perasaan berkeras untuk memacakkan bendera FBR di pagar bangunan pejabat Kedutaan Besar Malaysia.

Polis yang cuba menghalang tindakan berkenaan dirempuh oleh sekumpulan penunjuk perasaan itu sehingga mencetuskan kacau-bilau.

Berikutan itu, polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata ke arah peserta yang terlibat dalam demonstrasi itu kerana tindakan melampau mereka.

Isu ini tercetus berikutan kenyataan Naib Ketua Komisi 1, Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), T.B. Hasanuddin yang mendakwa, Indonesia kehilangan 1,400 hektar di Camar Bulan serta 800 meter garis pantai di Tanjung Datu.

Susulan itu, empat menteri Indonesia menafikan dakwaan berkenaan yang disifatkan tidak memiliki sebarang asas yang kukuh.

Menteri Koordinasi Politik, Undang-Undang dan Hubungan Keselamatan, Djoko Suyanto bersama-sama dengan Menteri Luar, Marty Natalegawa, Menteri Dalam Negeri, Gamawan Fauzi dan Menteri Pertahanan, Purnomo Yusgiantoro tampil mempertahankan Malaysia.

"Tidak timbul sebarang pertikaian sempadan antara Indonesia dan Malaysia kerana kedua-dua negara merujuk pada perjanjian persefahaman yang dibuat semasa era pemerintahan Belanda dan British pada tahun 1891, 1915 dan 1928," kata Marty Natalegawa pada sidang media itu.

Berdasarkan rekod sejarah, perjanjian yang ditandatangani antara Belanda dan Inggeris yang masing-masing menjajah Indonesia dan Malaysia, kata sepakat dicapai berhubung batas garis sempadan kedua-dua negara itu.

Sejak sekian lama kedua-dua Indonesia dan Malaysia sentiasa mematuhi perjanjian berkenaan dan tidak pernah ada sebarang pertikaian yang dibuat. - Utusan


Sumber dari :
http://www.utusan.com.my

Daripada SAHARUDIN MUSTHAFA
saharudin.musthafa@utusan.com.my

05 October 2011

Dadah dalam 'cappucino', 'coffeemix' dirampas

M. Govinden bersama pegawainya menunjukkan sebahagian dari peket 'Super Coffeemix' dan 'Good Day Cappucino' mengandungi syabu pada sidang akhbar di Kompleks Jabatan Kastam Diraja Malaysia KLIA di Sepang, semalam.



SEPANG 4 Okt. - Pelbagai taktik terbaru digunakan oleh sindiket dadah antarabangsa untuk membawa masuk barang larangan tersebut ke negara ini namun ia berjaya dibanteras oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Terbaru, JKDM Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 1.9 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM475,000 yang disorokkan dalam paket kecil 'cappucino' dan 'coffeemix'.

Sekali lagi, warga Iran dikenal pasti terlibat sebagai dalang membawa masuk bekalan dadah itu ke negara ini dan ia seperti sudah menjadi satu trend.

Pengarahnya, Datuk M. Govinden berkata, tangkapan itu berhasil selepas membuat pemantauan terhadap para penumpang yang tiba di negara ini melalui penerbangan Royal Jordanian dari Amman, Jordan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, JKDM menahan seorang pelancong wanita warga Iran kira-kira pukul 1 pagi Khamis lalu selepas curiga dengan barangan yang dibawa dalam dua buah beg berisi makanan ringan termasuk 'cappucino' dan 'coffeemix'.

"Imbasan awal mendapati tiada barangan yang mencurigakan ditemui dalam beg tersebut.

"Bagaimanapun selepas penumpang tersebut diarah membuka salah sebuah beg yang dimuatkan dengan makanan ringan seperti coklat, candy, cappucino, coffeemix, ia telah menimbulkan keraguan pegawai bertugas, lalu pelancong tersebut diarahkan untuk pemeriksaan rapi," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Ini merupakan kes kelima melibatkan warga Iran yang ditahan kerana cuba menyeludup masuk dadah ke negara ini sejak Ogos lalu.

Menurut Govinden, suspek berusia 24 tahun memasukkan 27 bungkusan kecil syabu dalam setiap paket cappucino daripada jenama Good Day Cappucino dan 36 peket lagi dalam satu pek Super Coffeemix.

"Kes ini diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan JKDM KLIA untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

"Suspek ketika ini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan," katanya.

Govinden memberitahu, bermula Januari sehingga 1 Oktober lalu, JKDM berjaya menggagalkan 21 kes dengan rampasan 80 kilogram dadah daripada pelbagai jenis bernilai hampir RM8 juta.


Sumber dari :
http://www.utusan.com.my

01 October 2011

Hina Johor: Guan Eng mohon maaf

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng

PULAU PINANG 30 Sept. 2011 - Ketua Menteri, Lim Guan Eng hari ini memohon maaf kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan rakyat negeri itu yang tersinggung dengan dakwaan kononnya Johor tidak selamat untuk pelabur.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP itu masih tetap mahu mempertahankan pendirian dengan menuduh kenyataannya sebelum ini telah disalah tafsir oleh pihak media.

"Patik tidak berniat untuk memburukkan Johor atau mana-mana negeri atas apa-apa sebab dan alasan sekali pun.
"Dalam laporan media, Sultan Johor juga bertitah bahawa baginda tidak mahu diseret ke dalam arena politik. Patik bersetuju dengan titah Sultan Johor.

"Saya merasakan bahawa saya telah disalah lapor oleh media massa yang dikawal oleh Barisan Nasional (BN)," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Kenyataan tersebut boleh dilihat di laman blog Guan Eng, http://limguaneng.com.

Menurut Guan Eng, beliau akan tetap membawa perkara tersebut ke mahkamah bagi membuktikan dirinya tidak bersalah.

"Saya telah pun mengarahkan peguam-peguam saya untuk memfailkan saman di mahkamah ke atas semua media massa kawalan BN bermula dengan Bernama," ujarnya.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi ketika mengulas perkara itu menganggap Guan Eng tidak ikhlas kerana beliau terus menyalahkan pihak lain khususnya 'media Barisan Nasional (BN)' yang didakwa memutarbelitkan kenyataannya.

Menurut beliau, tindakan pemimpin DAP itu menunjukkan perangai beliau yang sebenar iaitu seorang pemimpin yang tidak ikhlas.

"Perangai dia sebenarnya telah mengundang kemarahan seluruh rakyat Johor, khususnya polis, kakitangan kerajaan dan para peniaga kerana dia telah menghina Johor walaupun realitinya kadar jenayah menurun," katanya.

Mohd. Puad berkata, dia sepatutnya bukan sahaja memohon maaf kepada Sultan Johor, tetapi kepada seluruh rakyat negeri ini kerana menuduh kakitangan kerajaan tidak bersih.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Seri Shahrir Abd. Samad pula menyifatkan permohonan maaf Guan Eng itu menyerlahkan perangainya sebagai pembohong besar.

"Sama ada dia ikhlas atau tidak ikhlas memohon maaf atas keceluparannya, ini bermakna media telah mendedahkan dan melaporkan perkara yang benar. Sekalung tahniah diucapkan kepada media yang berjaya menyelongkar pembohongan seorang pemimpin DAP (Guan Eng).

Shahrir yang juga Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru berkata, sebenarnya Guan Eng tidak sedar yang membocorkan perkara itu adalah media asing yang mentertawa dan tidak gemar dengan perangai Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

"Kalau dah mohon maaf, diam-diam sajalah, jangan cuba menyalahkan pihak lain (media)," katanya.

Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Samsol Bari Jamali pula berkata, permohonan maaf Guan Eng bukti jelas bahawa beliau bersalah dan secara sedar telah melakukan sesuatu yang mengguris seluruh rakyat Johor, khususnya Sultan Johor.



Oleh ZABRY MOHAMAD
zabrymohamad.madzlan@utusangroup.com.my
Sumber dari :
http://www.utusan.com.my