Peminat Seni & Sejarah

01 October 2014

Harga petrol RON95 dan diesel naik 20 sen seliter mulai esok


KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hari ini mengumumkan subsidi petrol RON95 dan diesel dikurangkan sebanyak 20 sen seliter berkuat kuasa 12.01 tengah malam, 2 Oktober 2014.
Dengan ini harga runcit baharu bagi Petrol RON95 ialah RM2.30 seliter dan diesel RM2.20 seliter.
Harga pasaran bagi petrol RON95 pada masa ini ialah RM2.58 seliter dan harga diesel RM2.52 seliter.
KPDNKK dalam kenyataannya hari ini menyatakan, walaupun kadar subsidi dikurangkan, kerajaan masih perlu membelanjakan lebih RM21 bilion untuk subsidi petrol RON95, diesel dan LPG bagi 2014.
Langkah ini juga adalah selaras dengan dasar rasionalisasi subsidi kerajaan dalam memastikan kedudukan kewangan negara terus kukuh.
Kerajaan juga dijangka dapat mengurangkan ketirisan dan aktiviti penyeludupan oleh golongan tidak bertanggungjawab.
KPDNKK berkata, pemberian subsidi perlu lebih bersasar dan tidak secara pukal, dengan bukan warganegara Malaysia, termasuk pelancong asing, turut menikmati subsidi yang diberikan kerajaan.
Langkah ini juga dapat menghasilkan penjimatan yang setimpal dan boleh digunakan untuk pembangunan pendidikan, kesihatan, sistem pengangkutan awam yang lebih meluas dan cekap serta meningkatkan keselamatan negara.
Kata KPDNKK kerajaan sedar bahawa langkah rasionalisasi subsidi ini akan memberi kesan kepada ekonomi dan masyarakat.
Oleh itu, kerajaan akan terus menyediakan pelbagai bantuan dan insentif untuk meringankan beban, terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Antara langkah yang akan diambil kerajaan ialah menaikkan kadar pemberian BR1M yang akan diumumkan dalam Bajet 2015 kelak. - BERNAMA

Sumber dari : http://www.bharian.com.my



No comments: